Dasar & Prosedur
PENGENALAN: Dalam seluruh dokumen ini, NHTC Wellness Products Malaysia Sdn. Bhd. akan dirujuk sebagai “NHT Global” manakala pengedar bebas NHT Global akan dirujuk sebagai “pengedar”. Dasar dan Prosedur ini mentadbir cara pengedar menjalankan urus niaga dengan NHT Global. Dasar dan Prosedur ini berserta Pelan Ganjaran (dirujuk secara kolektif sebagai “Perjanjian”), sepertimana yang mungkin telah sedia ada atau yang akan dipinda selepas ini, merupakan perjanjian yang lengkap dan mengikat antara pengedar bebas NHT Global dan syarikat NHT Global. Kegagalan untuk mematuhi peruntukan mana-mana dokumen ini boleh menyebabkan penamatan Perjanjian. Sekiranya mana-mana bahagian Perjanjian, atau mana-mana instrumen yang diterbitkan oleh NHT Global diisytiharkan tidak sah di mahkamah bidang kuasa, maka peraturan, pelaksanaan atau instrumen yang selebihnya hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan dengan sepenuhnya.
II. PENGEDAR BEBAS
STATUS KONTRAKTOR BEBAS. Pengedar tidak dianggap sebagai pekerja dalam semua urusan percukaian. Semua pengedar adalah kontraktor bebas yang menjalankan perniagaan demi mencapai matlamat masing-masing. Pengedar tidak boleh dianggap sebagai pembeli francais, malah Perjanjian antara NHT Global dengan pengedarnya tidak akan menjana hubungan majikan/pekerja, agensi, perkongsian atau usaha sama. Pengedar adalah dilarang sama sekali daripada menyatakan atau membayangkan, sama ada secara lisan atau bertulis, bahawa mereka mempunyai hubungan selain daripada yang digariskan di atas. Setiap pengedar hendaklah melepaskan NHT Global daripada sebarang tuntutan, ganti rugi atau liabiliti yang timbul daripada amalan perniagaan pengedar. Pengedar tidak berhak untuk mengikat NHT Global dengan sebarang kewajipan. Setiap pengedar digalakkan untuk menentukan sendiri waktu kerjanya dan kaedah jualannya, selagi pengedar mematuhi syarat-syarat Perjanjian. TATALAKU PERNIAGAAN. Pengedar hendaklah melaksanakan semua aktiviti perniagaan secara profesional dan beretika, yang akan meningkatkan reputasi pengedar dan reputasi positif NHT Global. Pengedar tidak akan terlibat dalam apa-apa tingkah laku yang boleh menggugat imej NHT Global atau mana-mana pengedar lain. Pengedar akan bersikap sopan dan menghormati setiap orang yang berurusan dengan mereka, termasuk pekerja dan eksekutif pejabat korporat NHT Global. Mereka juga hendaklah menjalankan urus niaga sebagai pengedar dengan cara yang menghormati produk dan profesionalisme NHT Global serta pengedar yang lain. Dalam apa jua keadaan, pengedar tidak akan memperkecilkan atau memburukkan nama atau reputasi NHT Global berkaitan dengan pemasaran produk NHT Global atau menyalahgunakan sebarang maklumat sulit atau maklumat proprietari atau rahsia perdagangan (termasuk senarai nama dan alamat pengedar) untuk kegunaan peribadi pengedar atau pihak lain. LIABILITI PRODUK. NHT Global cuba untuk memperoleh insurans liabiliti produk terhadap semua produknya. Walau bagaimanapun, NHT Global mengesyorkan bahawa ia adalah langkah bijak bagi semua pengedar untuk mendapatkan insurans liabili.ti perniagaan yang sesuai bagi amalan perniagaan peribadi mereka sendiri. TIADA PERLINDUNGAN UNTUK PENGGUNAAN TIDAK WAJAR. Salah satu contoh liabiliti berkaitan penggunaan tidak wajar ialah pelanggaran terhadap batasan dakwaan manfaat kesihatan atau syor penggunaan. Perlindungan liabiliti NHT Global hanya terhad untuk kegunaan dan tujuan yang dinyatakan secara khusus pada bungkusan atau dalam risalah NHT Global. Pengedar yang cuba mengubah atau meminda label atau pembungkusan, memberi gambaran salah mengenai produk atau membuat dakwaan selain daripada yang dinyatakan dalam risalah NHT Global, tidak lagi dilindungi oleh sebarang insurans NHT Global. TIADA PEMBELIAN DIWAJIBKAN. Mana-mana Pengedar tidak diwajibkan untuk membeli sebarang produk, perkhidmatan atau program NHT Global. PENGLIBATAN PENGEDAR. NHT Global menyediakan kemudahan berikut kepada para pengedarnya: laman web pemasaran yang diperibadikan termasuk perkhidmatan pengehosan web; pejabat maya yang membolehkan pengedar menguruskan perniagaannya; akses kepada alat bantuan dalam talian dan muat turun bahan pemasaran; keupayaan untuk menyemak pengiraan dan pembayaran komisen, dan akses kepada rekod perbelanjaan peribadi yang lalu. Sekiranya pengedar membeli Pakej Permulaan Perniagaan (Business Builder Package) yang berharga RM 213, pengedar akan mendapat akses tanpa had ke pejabat maya selama 1 (satu) tahun. HAK PENGEDAR. Semua pengedar diberi kuasa untuk menjual produk NHT Global dan menyertai Pelan Ganjaran NHT Global. Semua pengedar NHT Global boleh menaja pengedar baharu di negara-negara di mana pasaran NHT Global telah dilancarkan dengan rasminya. UMUR SAH. Pengedar mesti mencapai umur sah (umur dewasa) di negara atau negeri kediaman mereka bagi membolehkan mereka beroperasi sebagai pengedar NHT Global. PASANGAN YANG BERKAHWIN. Setiap peserta atau entiti undang-undang hanya boleh mendapat satu hak pengedar tanpa mengira negara di mana hak pengedar itu diperoleh. Suami dan isteri dibenarkan memperoleh hak pengedar masing-masing dengan NHT Global. Suami dan isteri mesti berada dalam pohon penajaan yang sama dan suami/isteri tidak boleh dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan kedudukan pengedar dalam organisasi downline lain di seluruh dunia. Tindakan mana-mana suami atau isteri akan dianggap sebagai tindakan mereka secara berpasangan. SYARIKAT, PERKONGSIAN DAN BADAN AMANAH. Syarikat, syarikat liabiliti terhad, syarikat perkongsian dan/atau badan amanah boleh menjadi pengedar HANYA apabila salinan pemerbadanan, artikel pemerbadanan, artikel organisasi, perjanjian perkongsian atau dokumen amanah atau dokumen piagam atau dokumen organik lain sebagaimana yang difailkan dengan negeri atau organisasi (jika berkenaan) dikemukakan kepada pejabat tempatan. Untuk memastikan pematuhan kepada Perjanjian Pengedar, pengedar mesti mendedahkan senarai lengkap semua pengarah, pegawai dan pemegang saham yang terlibat dalam syarikat tersebut. Dokumen itu hendaklah dihantar secara faks atau e-mel kepada Jabatan Sokongan NHT Global. Syarikat liabiliti terhad mesti mendedahkan senarai lengkap semua ahli, pegawai dan pengurus. Syarikat perkongsian mesti mendedahkan semua rakan kongsi am dan terhad. Badan amanah mesti mendedahkan pemegang amanah dan benefisiari. Bukti pemerbadanan hendaklah diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan. Sekiranya mana-mana pemegang saham, rakan kongsi, ahli atau pengurus atau pengedar merupakan entiti pengedar NHT Global, maka maklumat yang diperlukan di atas untuk pengedar juga perlu diberikan oleh pemegang saham, rakan kongsi, ahli atau pengurus tersebut. Pemegang saham, ahli, rakan kongsi, benefisiari dan pemegang amanah, pengarah dan pegawai sebagaimana berkenaan, bersetuju untuk menanggung liabiliti peribadi dengan NHT Global dan terikat dengan Dasar dan Prosedur NHT Global. Borang “Beroperasi Di Bawah Nama Perniagaan” atau DBA (Doing Business As) yang telah dilengkapkan hendaklah difailkan dengan NHT Global. Untuk mana-mana kedudukan pengedar yang melibatkan lebih daripada satu individu, sama ada syarikat, perkongsian atau badan amanah, tindakan seorang peserta akan mencerminkan entiti pengedar itu secara keseluruhannya. Sekiranya seorang anggota didapati melanggar terma dan syarat Dasar dan Prosedur NHT Global, maka keseluruhan entiti pengedar itu akan dianggap terlibat dalam pelanggaran tersebut. NAMA REKAAN DAN/ATAU NAMA SAMARAN. Mana-mana individu atau entiti di seluruh dunia tidak boleh memohon hak pengedar dengan menggunakan nama rekaan atau nama samaran, atau menggunakan identiti orang atau entiti lain yang tidak dikaitkan dengan hak pengedar tersebut. NOMBOR PENGENALAN CUKAI. Mengikut undang-undang di Malaysia, pengedar dikehendaki mendapatkan Nombor Pengenalan dan memfailkannya dalam rekod NHT Global. NHT Global akan menggunakan nombor ini bagi semua tujuan berkaitan laporan kepada pihak kerajaan. CUKAI. Pengedar akan dianggap sebagai kontraktor bebas bagi tujuan percukaian di Malaysia. Sebagai kontraktor bebas, pengedar tidak boleh dianggap sebagai pekerja, pemegang francais, rakan usaha sama, rakan kongsi atau ejen dalam skop Undang-undang dan Peraturan Malaysia. PEMATUHAN UNDANG-UNDANG. Pengedar hendaklah mematuhi semua syarat dan peraturan yang berkaitan dengan operasi perniagaannya. Semua pengedar bertanggungjawab terhadap keputusan pengurusan dan perbelanjaan mereka sendiri, termasuk semua anggaran cukai pendapatan dan cukai bekerja sendiri. Pada akhir setiap tahun kalendar, NHT Global akan mengeluarkan Borang LHDNM kepada pengedar untuk pampasan “bukan pekerja” sebagaimana diperlukan. Memandangkan pengedar tidak ditakrifkan sebagai pekerja NHT Global, NHT Global tidak bertanggungjawab terhadap pembayaran atau pembayaran bersama sebarang manfaat pekerja. NOMBOR PENGENALAN DIRI. NHT Global akan memperuntukkan Nombor Pengenalan Diri (PIN) pengedar ketika pendaftaran. PIN pengedar mesti dipaparkan dalam semua urusan surat-menyurat dengan NHT Global, termasuk kertas kerja untuk penajaan, pesanan produk, bantuan dan sebagainya. TIADA WILAYAH EKSKLUSIF. Pengedar tidak berhak menuntut sebarang wilayah eksklusif bagi tujuan perekrutan, malah mana-mana pengedar tidak boleh membayangkan atau menyatakan bahawa beliau memiliki atau boleh memberikan sebarang hak wilayah eksklusif. Penajaan pengedar boleh dilakukan tanpa batasan faktor geografi, melainkan negara-negara di mana pasaran NHT Global belum dilancarkan dengan rasminya. PERKHIDMATAN DAN PRODUK LAIN. Pengedar tidak dilarang daripada menjual perkhidmatan dan produk syarikat lain. Walau bagaimanapun, promosi langsung atau tidak langsung bagi produk dan perkhidmatan tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada pengedar NHT Global di seluruh dunia, adalah terhad kepada pengedar yang ditaja secara peribadi oleh pengedar terbabit. Mana-mana pengedar yang didapati melanggar peraturan ini mungkin akan kehilangan keistimewaan pembeli, malah Perjanjian ini dan penyertaan mereka dalam Pelan Ganjaran NHT Global mungkin akan digantung dan/atau ditamatkan, sebagai tambahan kepada tindakan lain yang berhak diambil oleh pihak NHT Global. PEREKRUTAN SILANG. Merekrut ahli secara langsung atau tidak langsung sama ada secara bertulis, lisan atau tersirat daripada satu (1) kepada satu lagi organisasi pengedar NHT Global di seluruh dunia adalah dilarang sama sekali. MEMBUAT PERNYATAAN MENGENAI SOKONGAN KERAJAAN. Pengedar tidak boleh membuat pernyataan secara langsung atau tidak langsung bahawa program atau produk pemasaran NHT Global telah diperakui atau disokong oleh mana-mana agensi kerajaan. RAWATAN PERUBATAN, KELULUSAN DAN TERAPI. Pengedar memahami bahawa mereka tidak boleh menyatakan secara langsung atau membayangkan secara tidak langsung, sama ada melalui penggunaan testimoni atau sebaliknya, bahawa mana-mana produk NHT Global diluluskan oleh FDA. Mereka juga tidak boleh membincangkan atau mencadangkan bahawa mana-mana diagnosis, penilaian, prognosis, huraian, rawatan, terapi atau pengurusan atau rawatan masalah kesihatan atau penyakit boleh atau akan menjadi lebih baik dengan pengambilan atau penggunaan produk. Pengedar memahami bahawa produk NHT Global tidak ditawarkan, bertujuan untuk atau dianggap sebagai rawatan perubatan bagi mana-mana masalah kesihatan atau penyakit, sama ada mental mahupun fizikal. Sebarang pertanyaan produk hendaklah ditujukan kepada cawangan tempatan. III. TAKRIFAN Pengedar. Seseorang yang telah mendaftar dan bersetuju untuk mematuhi Dasar dan Prosedur Global NHT sebagaimana yang dipinda dari semasa ke semasa. Dalam bidang kuasa di mana penjualan runcit tidak dibenarkan, pengedar akan dianggap sebagai Ahli. Pengedar dan/atau Kedudukan Pengedar mungkin terangkum dalam salah satu yang berikut: Aktif: Pengedar atau Kedudukan Pengedar yang secara berterusan memenuhi syarat BV untuk program ganjaran Global NHT dan mempunyai pejabat maya yang aktif. Pengedar Aktif atau Kedudukan Aktif boleh membeli produk untuk jualan runcit (jika dibenarkan) atau untuk kegunaan peribadi serta layak menerima komisen di bawah pelan ganjaran syarikat. Pengedar Aktif atau Kedudukan Aktif yang tidak lagi mempunyai pejabat maya yang aktif, tetapi memenuhi syarat BV bulanan secara berterusan, akan dianggap sebagai Tidak Aktif dan mempunyai status yang sama seperti Pembeli Runcit/Pemborong (yang bermakna mereka boleh membeli produk tetapi tidak mendapat komisen). Pengedar Aktif atau Kedudukan Aktif yang mengekalkan keaktifan pejabat maya tetapi gagal memenuhi syarat BV bulanan akan dianggap sebagai dorman. Pengedar Tidak Aktif – Pengedar Aktif atau Kedudukan Aktif yang secara berterusan gagal untuk memenuhi syarat minimum bagi menyertai program ganjaran, sama ada pejabat maya mereka aktif atau tidak aktif.
Pengedar Dorman – Tidak memenuhi syarat minimum untuk penyertaan berterusan dalam program ganjaran selama 90 (sembilan puluh) hari atau lebih lama. Mereka mungkin atau mungkin tidak mempunyai pejabat maya yang aktif. Pembeli Runcit/Pemborong –Mungkin atau mungkin tidak mempunyai pejabat maya. Mereka boleh membeli produk pada peringkat borong tetapi tidak mempunyai laman web, tidak dapat melihat genealogi, pengaktifan, pangkat, tidak boleh menyertai program ganjaran dan tidak boleh menaja orang lain ke dalam perniagaan ini. Pejabat maya membenarkan pembelian produk secara autoship. Pengedar yang Digantung – Tidak boleh memperkenalkan dirinya sebagai pengedar. Tidak boleh membeli produk, menyertai program ganjaran atau menggunakan pejabat maya atau laman web syarikat. Komisen yang diperoleh akan disekat selagi isu terbabit belum selesai. Sekiranya pengedar didapati tidak bersalah, komisennya akan dikembalikan. Pengedar yang Ditamatkan –Tidak boleh memperkenalkan dirinya sebagai pengedar NHT Global. Tidak boleh membeli produk, menyertai program ganjaran. Tiada pejabat maya, tiada laman web.
IV. SYARAT-SYARAT PENAJAAN, LATIHAN DAN PENAMATANPENAJAAN. Pengedar berhak untuk menaja pengedar lain ke dalam program NHT Global di negara-negara di mana pasaran NHT Global telah dilancarkan dengan rasminya. Walau bagaimanapun, pengedar hanya diberi ganjaran untuk penjualan produk, bukan untuk penajaan pengedar baharu (tanpa mengira negara) ke dalam program ini. JUALAN/PEMINDAHAN HAK PENGEDAR. Hak pengedar boleh dijual atau dipindahkan kepada entiti bukan pengedar hanya selepas tempoh enam (6) bulan dari tarikh pendaftaran atas nama pengedar asal. Pengedar tidak boleh cuba mendaftar di mana-mana negara lain untuk mengelakkan tempoh menunggu yang ditetapkan. Borang Jualan/Pemindahan yang lengkap dan diperakui hendaklah dihantar melalui pejabat maya. Apabila pemindahan/jualan tersebut diluluskan dan diterima, mana-mana volum yang terkumpul sebelum ini akan terbatal. PERMOHONAN BERBILANG. Sekiranya pengedar mengemukakan berbilang permohonan melalui penaja-penaja yang berlainan, hanya maklumat lengkap pertama yang diterima oleh NHT Global akan diterima. NHT Global berhak, mengikut budi bicara mutlaknya, untuk membuat keputusan muktamad mengenai sebarang pertikaian. Pengedar hanya boleh memiliki satu kedudukan dalam platform di seluruh dunia tanpa mengira pasaran. PERUBAHAN/PEMBETULAN KEDUDUKAN. Permohonan untuk perubahan/pembetulan kedudukan boleh dilakukan dalam tempoh tiga (3) hari dari tarikh pendaftaran. Untuk membuat perubahan sedemikian, pengedar hendaklah mengemukakan kebenaran bertulis kepada Jabatan Sokongan yang dihantar melalui pejabat maya penaja serta pengedar terbabit dan dalam sesetengah kes, upline kepada pengedar terbabit. PEMBETULAN PENAJA. Perubahan penaja tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun, pembetulan penaja boleh dibuat sekiranya permohonan dikemukakan kepada Jabatan Sokongan dalam tempoh tiga (3) hari perniagaan. Pembetulan penaja mesti dikemukakan melalui pejabat maya penaja semasa (asal) dengan menyatakan sebabnya. PEMEROLEHAN PERNIAGAAN. Mana-mana pengedar yang ingin memperoleh kepentingan dalam perniagaan pengedar lain di seluruh dunia mesti menamatkan status pengedarnya terlebih dahulu dan menunggu selama enam (6) bulan dari tarikh notis penamatan tersebut sebelum mereka layak membuat pembelian sedemikian, tanpa mengira negara pembelian. Memandangkan NHT Global ialah platform tanpa sempadan di seluruh dunia, sekiranya pengedar secara sukarela menamatkan penglibatannya dalam satu pasaran dan ingin mendaftar dalam pasaran yang lain, tempoh menunggu yang sewajarnya mesti dipatuhi di pasaran asal sebelum mereka mendaftar dalam mana-mana pasaran baharu tanpa pengecualian. Semua urus niaga tersebut mesti dilakukan dengan penuh ketelusan, dengan melengkapkan borang Jualan/Pemindahan yang dikemukakan kepada Jabatan Sokongan NHT Global, tertakluk kepada kelulusan oleh pihak Syarikat. MENAMBAH PEMOHON BERSAMA. Apabila menambah pemohon (sama ada individu atau entiti perniagaan) kepada hak pengedar sedia ada, permintaan bertulis hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Sokongan NHT Global. Pemohon asal mesti kekal sebagai salah satu pihak dalam hak pengedar tersebut. Sekiranya pengedar asal ingin menamatkan hubungan pengedar dengan NHT Global, beliau mesti berbuat demikian mengikut dasar pemberhentian NHT Global. Sekiranya syarat ini tidak dipatuhi, perniagaan itu akan ditamatkan apabila pengedar asal menarik diri. Semua cek bonus dan komisen akan dihantar ke alamat pengedar yang ada dalam rekod. Dalam apa jua keadaan, pemohon bersama tidak boleh memiliki/menjadi sebahagian daripada kedudukan pengedar lain di mana-mana negara lain. Sila maklum bahawa perubahan ini dibenarkan dalam skop perenggan ini tanpa melibatkan pertukaran penajaan. MAKLUMAT PERIBADI. Maklumat peribadi, contohnya kata laluan pejabat maya pengedar, alamat pengedar, nombor telefon dan sebagainya akan dianggap sebagai sulit dan tidak akan dikongsi dengan mana-mana individu di luar NHT Global, melainkan dikehendaki oleh undang-undang. Sekiranya berlaku kecemasan, pihak luar yang terbabit boleh menghubungi Jabatan Sokongan NHT Global yang akan memaklumkan perkara itu kepada pengedar. PENYEDIAAN LATIHAN. Pengedar dikehendaki memastikan agar latihan yang secukupnya disediakan kepada para pengedar tajaan mereka yang memasuki program NHT Global. “Latihan yang secukupnya” hendaklah termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pemberitahuan mengenai Dasar dan Prosedur, Pelan Ganjaran, maklumat produk, amalan perniagaan yang baik, strategi jualan dan etika perniagaan. Penaja hendaklah mengekalkan hubungan kepimpinan profesional yang berterusan dengan para pengedar dalam organisasinya. Penaja juga mesti melaksanakan kewajipannya dari aspek penyeliaan, penjualan atau pengagihan berkaitan dengan penjualan atau penghantaran produk dan perkhidmatan kepada pengguna akhir. PEMBERHENTIAN. Mana-mana pengedar boleh menamatkan statusnya sebagai pengedar secara sukarela dengan tidak memperbaharui keahlian apabila tiba masanya (lihat butirannya dalam Kedudukan Pengedar Tidak Aktif) atau dengan menghantar notis bertulis kepada Jabatan Sokongan NHT Global. Pemberhentian akan berkuat kuasa apabila notis itu diterima. Pengedar yang menamatkan hak pengedarnya tidak boleh memohon semula secara individu atau mempunyai kepentingan kewangan dalam mana-mana entiti pengedar lain selama enam (6) bulan dari tarikh pemberhentian, tanpa mengira negara asal di mana hak pengedar diperoleh. Individu yang mendaftar semula untuk menjadi pengedar selepas tempoh yang ditetapkan di atas tidak boleh menuntut kedudukan yang pernah dipegang olehnya atau menuntut mana-mana organisasi downline yang terdahulu. PENGGANTUNGAN. NHT Global berhak menggantung mana-mana kedudukan pengedar pada bila-bila masa apabila pengedar didapati melanggar peruntukan Perjanjian, termasuk peruntukan dalam Dasar dan Prosedur sebagaimana yang mungkin dipinda dari semasa ke semasa, atau peruntukan mana-mana undang-undang atau standard yang wajar untuk urusan yang saksama. Penggantungan sukarela tersebut hendaklah dilakukan oleh NHT Global mengikut budi bicaranya. NHT Global akan memaklumkan perkara ini kepada pengedar sama ada melalui pos atau e-mel yang dihantar ke alamat terkini pengedar sepertimana yang terdapat dalam rekod NHT Global. Sekiranya berlaku penggantungan, pengedar bersetuju untuk berhenti dengan segera daripada memperkenalkan dirinya sebagai pengedar NHT Global sehingga perkara itu diselesaikan. Sekiranya mana-mana pengedar digantung bagi sesuatu tempoh tertentu atas sebarang kesalahan, beliau tidak berhak mendapat komisen atau override sepanjang tempoh penggantungan itu. PENAMATAN. Hak pengedar boleh ditamatkan kerana melanggar mana-mana syarat Perjanjian. Notis penamatan yang menyatakan sebab untuk tindakan itu hendaklah diberikan secara bertulis kepada pengedar dan dihantar sama ada melalui pos atau e-mel. Penamatan akan berkuat kuasa seperti yang dinyatakan dalam notis sekiranya pengedar tidak membuat rayuan dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut prosedur rayuan yang dinyatakan di bawah. RAYUAN. Pengedar yang digantung atau ditamatkan keahliannya boleh membuat rayuan dengan menyerahkan surat kepada NHT Global yang menyatakan alasan rayuan. (Nota: Dalam apa jua keadaan, tiada panggilan telefon akan diterima untuk menyelesaikan isu tersebut). Surat rayuan mesti diterima oleh NHT Global dalam tempoh sepuluh (10) hari perniagaan dari tarikh pemberitahuan atau sepertimana yang ditetapkan dalam komunikasi. Sekiranya NHT Global belum menerima surat rayuan itu apabila tarikh rayuan berakhir, penggantungan atau penamatan itu secara automatik akan menjadi penamatan muktamad. Sekiranya pengedar memfailkan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan, NHT Global akan, menurut budi bicara mutlaknya, menyemak dan memaklumkan keputusannya kepada pengedar dan pihak pengadu. Keputusan NHT Global adalah muktamad dan tidak akan disemak semula. Sekiranya rayuan itu ditolak berdasarkan dokumen dan bukti yang dikemukakan terhadap pengedar, penggantungan atau penamatan itu hendaklah terus berkuat kuasa pada tarikh pemberitahuan asal. ADUAN PENGEDAR. NHT Global tidak diwajibkan untuk menyerahkan atau mendedahkan identiti mana-mana pengadu tanpa perintah mahkamah. Jabatan Pematuhan akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan agar maklumat yang diberikan adalah berdasarkan fakta dan bahawa tindakan diperlukan bagi menangani aduan pengedar. Dalam kebanyakan kes, situasi yang kelihatan seperti pelanggaran Dasar dan Prosedur sebenarnya hanyalah salah faham atau kekeliruan mengenai peraturan dan syarat yang mentadbir hak pengedar. Semua komunikasi dengan Jabatan Pematuhan berkaitan pengedar NHT Global mesti mengandungi nama dan maklumat pihak pengadu, penerangan terperinci tentang pelanggaran terbabit, serta nama dan maklumat untuk menghubungi saksi-saksi yang bekerjasama. Aduan tanpa nama atau aduan yang tidak disahkan tidak akan diiktiraf. PEWARISAN. Tanpa mengambil kira peruntukan lain dalam bahagian ini, apabila seseorang pengedar meninggal dunia, kedudukan pengedar itu akan berpindah kepada pengganti yang berkepentingan sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang. Walau bagaimanapun, NHT Global tidak akan mengiktiraf pemindahan tersebut sehingga pengganti yang berkepentingan itu telah mengemukakan borang Jualan/Pemindahan yang lengkap kepada Jabatan Sokongan NHT Global bersama-sama salinan sijil kematian yang disahkan serta wasiat, amanah atau instrumen lain. Selepas itu, pengganti berhak mendapat semua hak dan tertakluk kepada semua kewajipan sebagaimana mana-mana pengedar NHT Global yang lain. Pengganti yang berkepentingan mestilah mencapai umur sah (umur dewasa) di negara kediamannya. PERCERAIAN ATAU PEMBUBARAN PERKAHWINAN. Dalam tempoh menunggu prosiding perceraian atau pembubaran entiti, kedua-dua pihak mesti menjalankan salah satu kaedah operasi berikut: Salah satu pihak boleh, dengan persetujuan bertulis daripada pihak yang satu lagi, mengoperasikan perniagaan NHT Global menurut tugasan bertulis daripada NHT Global untuk berurusan secara terus dan hanya dengan pasangan yang satu lagi, atau pemegang saham, rakan kongsi atau pemegang amanah yang tidak terlibat dalam pemisahan itu. Pihak-pihak terbabit boleh terus mengoperasikan perniagaan NHT Global secara bersama-sama seperti biasa, di mana semua ganjaran yang diberikan oleh NHT Global akan dibayar ke atas nama pengedar bersama atau nama entiti mengikut pembahagian yang dipersetujui secara bebas sesama mereka sendiri. NHT Global tidak akan membahagikan cek komisen dan bonus atau memberi bayaran balik untuk pemberhentian mana-mana pasangan yang bercerai atau ahli entiti yang terlibat dalam pembubaran. NHT Global akan mengiktiraf hanya satu (1) organisasi downline dan akan mengeluarkan satu (1) cek komisen/bonus bagi setiap perniagaan NHT Global bagi setiap kitaran komisen atau satu cek bayaran balik bagi setiap pemberhentian (jika berkenaan). Cek komisen akan sentiasa dikeluarkan atas nama individu atau entiti yang sama. Sekiranya pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding perceraian atau pembubaran tidak dapat menyelesaikan pertikaian mengenai pembahagian komisen dan pemilikan perniagaan, Perjanjian akan terbatal secara automatik. Sekiranya mana-mana bekas suami/isteri atau entiti perkongsian itu telah melepaskan semua haknya terhadap perniagaan NHT Global yang asal, beliau bebas untuk mendaftar di bawah mana-mana penaja pilihannya, dengan syarat beliau mematuhi tempoh menunggu yang ditetapkan oleh NHT Global. Walau bagaimanapun, dalam kes ini, bekas suami/isteri atau rakan kongsi tidak boleh menuntut hak ke atas mana-mana pengedar dalam organisasinya yang terdahulu atau mana-mana bekas pengedar. PERJANJIAN KERAHSIAAN. Pengedar boleh mengakses maklumat sulit melalui laman web NHT Global. Secara khususnya, tanpa batasan kepada perkara-perkara yang disebut di atas, maklumat yang terkandung dalam mana-mana laporan genealogi atau laporan downline NHT Global yang disediakan kepada atau yang boleh diakses oleh pengedar adalah bersifat rahsia dan proprietari, serta dimiliki oleh dan menjadi harta NHT Global, dan dihantar atau tersedia kepada pengedar dengan cara yang sulit. Pengedar bersetuju bahawa beliau tidak akan mendedahkan apa-apa maklumat rahsia atau proprietari itu kepada mana-mana pihak ketiga secara langsung atau tidak langsung, atau menggunakan maklumat tersebut untuk bersaing dengan NHT Global. Maklumat ini hanya akan digunakan bagi tujuan mempromosikan program NHT Global. Pengedar dan NHT Global bersetuju bahawa, hanya untuk perjanjian kerahsiaan tanpa pendedahan ini, NHT Global tidak akan memberikan maklumat atau membolehkannya diakses oleh pengedar. Mana-mana pengedar yang didapati atau dilaporkan melanggar peraturan ini mungkin akan kehilangan keistimewaan pembeli, digantung daripada menyertai Pelan Ganjaran NHT Global dan ditamatkan Perjanjian ini, malah NHT Global mungkin akan mendapatkan bantuan injunksi dan/atau apa-apa penyelesaian lain untuk ganti rugi maksimum setakat yang dibenarkan oleh undang-undang. Adalah dipersetujui bahawa peruntukan ini akan terus diguna pakai walaupun Perjanjian sudah ditamatkan atau luput tarikh. TESTIMONI PRODUK. Mana-mana pengedar digalakkan untuk berkongsi pengalamannya dengan pengambilan dan penggunaan produk. NHT Global berhak menggunakan pernyataan dan gambar, yang diserahkan secara sukarela oleh pengedar dan pelanggan kepada Jabatan Sokongan, dalam bahan promosinya tanpa menawarkan sebarang pampasan kewangan atau pampasan lain. Ketika menandatangani Perjanjian, setiap pengedar bersetuju terhadap penggunaan testimoninya oleh NHT Global. Walau bagaimanapun, pengedar tidak boleh menggunakan atau membenarkan penggunaan testimoni yang menyatakan atau membayangkan bahawa mana-mana produk NHT Global mempunyai kualiti, ciri atau sifat yang tidak diluluskan oleh NHT Global atau yang melanggar Perjanjian (sebagai contoh, sila rujuk “Rawatan Perubatan, Kelulusan dan Terapi” dalam bahagian II di atas). LARANGAN PUJUKAN. Sepanjang tempoh yang dinyatakan di sini dan bagi tempoh lima (5) tahun selepas hubungan antara pengedar dan NHT Global ditamatkan atau luput tarikh atas sebarang sebab, pengedar tidak boleh, bagi pihaknya sendiri atau bagi mana-mana pihak lain, perkongsian, persatuan, syarikat atau entiti lain, mengupah atau mengambil mana-mana pekerja, pengedar lain, pelanggan, pengilang atau pembekal NHT Global atau mana-mana syarikat sekutunya, atau dalam apa jua cara cuba untuk mempengaruhi atau memujuk mana-mana pekerja, pengedar lain, pelanggan, pengilang atau pembekal NHT Global atau mana-mana syarikat sekutunya, untuk mengubah hubungan kerja atau hubungan perniagaan mereka dengan NHT Global atau syarikat sekutunya. Malah, mana-mana pengedar tidak boleh menggunakan atau mendedahkan kepada mana-mana individu sebarang maklumat berkaitan nama dan alamat NHT Global atau mana-mana syarikat sekutunya, pekerja atau pengedarnya yang diperoleh semasa Perjanjian ini berkuat kuasa. Adalah dipersetujui bahawa peruntukan ini akan terus diguna pakai walaupun Perjanjian sudah ditamatkan atau luput tarikh. LARANGAN PERSAINGAN. Setiap pengedar bersetuju untuk tidak bersaing dengan kepentingan perniagaan NHT Global yang dilindungi dengan menjual atau mempromosikan produk atau peluang lain (melainkan sepertimana yang diterangkan dalam ‘Perkhidmatan dan Produk Lain‘). Pengedar mengakui dan mengiktiraf bahawa sekatan ini perlu diambil oleh NHT Global bagi melindungi kepentingannya dan bersetuju bahawa sebarang injunksi dan/atau penyelesaian lain adalah diperlukan dan wajar bagi membolehkan NHT Global melindungi kepentingan dirinya. KERAHSIAAN VENDOR. Hubungan perniagaan NHT Global dengan vendor, pengilang dan pembekalnya adalah sulit. Pengedar tidak boleh menghubungi secara langsung atau tidak langsung, bercakap atau berkomunikasi dengan mana-mana wakil atau mana-mana pembekal, pengilang atau vendor melainkan pada acara tajaan NHT Global di mana wakil vendor hadir atas permintaan NHT Global. Pelanggaran peraturan ini boleh menyebabkan penamatan manfaat pengedar dan kemungkinan tuntutan ganti rugi sekiranya hubungan vendor/pengilang/pembekal tergugat disebabkan komunikasi yang dilakukan oleh pengedar.
V. TANDA DAGANGAN, BAHAN BACAAN DAN PENGIKLANAN.TANDA DAGANGAN. Nama NHT Global dan nama semua produk, perkhidmatan dan program NHT Global merupakan tanda dagangan dan harta milik NHT Global. Hanya NHT Global yang diberi kuasa untuk menghasilkan dan memasarkan produk dan bahan bacaan di bawah tanda dagangan ini. Ini termasuk tetapi tidak terhad kepada slaid, overhed, risalah, video, alamat domain, alamat e-mel dan bahan latihan dan/atau pemasaran lain dan semua bahan promosi seperti, tetapi tidak terhad kepada, kemeja-T, topi, pin, beg galas, magnet peti sejuk, cawan dan barangan promosi lain yang tidak dikeluarkan oleh NHT Global*. Penggunaan nama NHT Global pada mana-mana barangan yang tidak dihasilkan atau dibenarkan oleh NHT Global adalah dilarang, melainkan dalam cara yang diterangkan di bawah: Mary Jones Pengedar Bebas NHT Global ATAU Kontraktor Bebas NHT Global NOTA: Tiada kaedah lain boleh digunakan untuk menggambarkan hubungan pengedar dengan NHT Global. * Jawatan atau peranan ini juga mesti dipaparkan pada bahan atau barangan promosi pengedar yang diluluskan oleh Jabatan Pematuhan. PENYENARAIAN HALAMAN KUNING DAN PUTIH (YELLOW AND WHITE PAGE). Pengedar tidak dibenarkan untuk menggunakan tanda dagangan Global NHT semasa mengiklankan nombor telefon dan faks mereka dalam halaman putih atau halaman kuning buku telefon atau dalam direktori telefon Internet tanpa memperkenalkan diri mereka sebagai pengedar bebas atau kontraktor bebas. PENYENARAIAN NOMBOR TELEFON BEBAS TOL. Pengedar NHT Global tidak dibenarkan untuk menyenaraikan nombor telefon bebas tol mereka di bawah tanda dagangan Global NHT tanpa mengemukakan permohonan kepada Jabatan Sokongan terlebih dahulu. Sekiranya kelulusan diperoleh untuk penyenaraian bebas tol, ia mesti disenaraikan dalam cara berikut: John Jones Pengedar Bebas NHT Global ATAU John Jones Kontraktor Bebas Sila maklum: Tiada kaedah lain boleh digunakan untuk menggambarkan hubungan pengedar dengan NHT Global. CEK YANG SIAP TERTERA MAKLUMAT. Pengedar NHT Global tidak dibenarkan untuk menggunakan nama dagangan Global NHT atau mana-mana tanda dagangannya pada akaun perniagaan atau akaun semasa peribadi mereka. KAD PERNIAGAAN ATAU KEPALA SURAT YANG SIAP TERTERA MAKLUMAT. Pengedar bebas NHT Global tidak dibenarkan untuk mencipta kad perniagaan mereka sendiri atau grafik kepala surat yang menggunakan nama dan/atau tanda dagangan NHT Global. Hanya versi dan ayat yang diluluskan oleh NHT Global boleh digunakan. Ia boleh didapati melalui salah satu vendor NHT Global yang telah dilantik bagi tujuan ini. BAHAN PENULISAN KELUARAN SYARIKAT. Hanya bahan penulisan yang rasmi daripada NHT Global boleh digunakan dalam pembentangan produk NHT Global dan/atau Pelan Ganjaran NHT Global. Bahan penulisan syarikat tidak boleh diduplikasi atau dicetak semula tanpa kebenaran bertulis daripada NHT Global, yang boleh diperoleh melalui komunikasi e-mel, surat atau faks yang ditujukan kepada Jabatan Pematuhan. Sepanduk, bahan pameran perdagangan dan bahan promosi lain yang berkenaan hendaklah diluluskan terlebih dahulu secara bertulis daripada NHT Global. Item di laman web korporat dan laman web pengedar boleh dimuat turun untuk tujuan promosi. PENGIKLANAN. Hanya bahan-bahan yang diluluskan oleh NHT Global boleh digunakan untuk pengiklanan dalam mana-mana bahan cetak, radio, televisyen, Internet, elektronik atau media lain. Tiada seorang pun boleh menggunakan nama NHT Global, logo, tanda dagangan atau bahan berhak cipta NHT Global dalam sebarang iklan yang tidak diterbitkan oleh NHT Global atau tanpa kebenaran bertulis daripada NHT Global. Untuk mendapatkan kelulusan, salinan bahan pengiklanan yang dicadangkan boleh dihantar secara terus kepada NHT Global melalui pos, faks atau e-mel. Sertakan penerangan mengenai iklan tersebut (nama penerbitan, bulan, tahun, isu dan sebagainya). NHT Global akan membalas syor edit/kelulusannya melalui e-mel, pos atau faks berserta kod kelulusan. Kod kelulusan mesti tertera di sudut bawah sebelah kanan mana-mana bahan yang diluluskan. Sebaik sahaja kelulusan diperoleh, tiada teks boleh dipinda atau diubah. Sekiranya sebarang perubahan dilakukan, bahan iklan itu mesti dihantar semula untuk semakan. DASAR INTERNET DAN LAMAN WEB. Pengedar yang ingin membuat iklan dalam Internet mesti mematuhi sepenuhnya Dasar dan Prosedur. Sebarang pengiklanan Internet adalah tertakluk kepada kelulusan bertulis terlebih dahulu (sepertimana yang dinyatakan di atas) daripada NHT Global. NHT Global, mengikut budi bicara mutlaknya, boleh menafikan penggunaan mana-mana bahan pengiklanan atas sebarang sebab, termasuk tanpa had, apa-apa bahan yang diterbitkan atau yang cuba diterbitkan di Internet. Di samping itu, pengedar hendaklah mematuhi perkara-perkara berikut:
Kenyataan berikut mesti tertera pada setiap laman web pengedar: “Pernyataan yang dibuat dalam penerbitan ini belum dinilai oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan A.S.. Produk ini tidak bertujuan untuk mendiagnos, merawat, mengubat atau mencegah sebarang penyakit.” “Seperti mana-mana program pengurusan berat badan atau makanan tambahan, sila dapatkan nasihat daripada profesional kesihatan anda sebelum memulakan sebarang regimen kesihatan, terutamanya jika anda mengalami sebarang masalah kesihatan yang diketahui. Sentiasa baca dan patuhi arahan label” “Pendapatan yang disebut dalam penerbitan ini mungkin tidak mewakili jumlah sebenar yang anda peroleh. Kejayaan anda sebagai pengedar Global NHT bergantung pada usaha dan organisasi anda sendiri.” “Hasil penggunaan produk adalah berbeza-beza. Kejayaan penggunaan produk pengurusan berat badan NHT Global adalah bergantung pada pelbagai faktor termasuk, tetapi tidak terhad kepada, umur, masalah kesihatan, tahap aktiviti dan faktor peribadi yang lain.” “Produk, syarikat dan maklumat pemasaran dilindungi di bawah hak cipta NHT Global dan hanya boleh digunakan dengan kebenaran.” NAMA DOMAIN. Pengedar tidak boleh menggunakan atau cuba untuk mendaftarkan (a) nama dagangan, jenama, tanda perkhidmatan, nama produk dan ramuan produk NHT Global, (b) nama “Natural Health Trends Corp.”, (c) atau mana-mana bahan terbitan kepada perkara yang disebut di atas untuk mana-mana nama domain Internet. Nama domain yang didapati tidak mematuhi syarat ini akan dikenakan penggantungan hak pengedar dengan serta-merta, caj penalti sebanyak RM 100 (seratus Ringgit) yang dikira mengikut hari, dan kemungkinan penamatan status hak pengedar. Untuk menarik balik penggantungan, pengedar mesti terlebih dahulu membuat pengesahan secara bertulis bahawa langkah-langkah pembetulan telah diambil dan semua caj penalti telah dijelaskan. Sebarang kesalahan yang berulang akan mengakibatkan penamatan serta-merta. PEMASARAN MELALUI E-MEL DAN KUMPULAN PERBINCANGAN. Pengedar yang menggunakan e-mel atau perkhidmatan lain untuk menghantar risalah e-mel yang tidak diminta dan tidak diluluskan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas semua maklumat berkaitan produk dan Program Ganjaran yang tidak terkandung dengan jelas dalam bahan pengiklanan dan promosi yang disediakan secara langsung oleh NHT Global. “Spamming”, menelefon atau menghantar faks tanpa persetujuan adalah dilarang sama sekali dalam pelbagai aspek undang-undang. Sebarang dan semua maklumat yang mewakili NHT Global, Program Ganjaran atau produknya selain daripada yang disediakan oleh NHT Global mesti diluluskan terlebih dahulu secara bertulis. JUALAN LELONG. Pengedar tidak boleh menjual produk NHT Global sama ada secara langsung, secara senyap, melalui Internet atau sebarang bentuk lelongan lain walaupun produk terbabit ditawarkan pada harga runcit yang disarankan kepada pengedar. PAMERAN PERDAGANGAN. Dengan kebenaran bertulis daripada NHT Global, pengedar boleh mempamerkan produk dan Program Ganjaran NHT Global di pameran perdagangan. Permohonan untuk menyertai pameran perdagangan mesti diterima secara bertulis oleh NHT Global sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum acara tersebut bermula. Produk dan Program Ganjaran NHT Global adalah satu-satunya produk dan program ganjaran yang boleh ditawarkan di gerai atau meja di pameran perdagangan itu. Sila pastikan agar maklumat pengenalan diri dicetak pada mana-mana risalah yang akan diedarkan kepada hadirin dalam apa jua acara. DAKWAAN PENDAPATAN. Dalam apa jua cara sekalipun, pengedar tidak boleh mempamerkan cek komisen atau membuat pernyataan atau gambaran khusus tentang pendapatan bagi tujuan merekrut ahli atau sebarang tujuan lain. TEMU BUAL DENGAN PIHAK MEDIA. Pengedar dilarang daripada menghadiri temu bual radio, televisyen, akhbar, tabloid, majalah atau sebarang jenis temubual atau menggunakan penampilan awam, penglibatan awam, atau membuat sebarang pernyataan kepada media awam untuk mempromosikan NHT Global, produknya atau perniagaan NHT Global mereka sendiri tanpa kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada NHT Global. Jika ini berlaku, wawancara tersebut akan disekat dengan cara yang sewajarnya. Semua saluran media yang diluluskan mesti dikendalikan menerusi NHT Global dan mesti mengandungi penerangan lengkap tentang format dan lokasi temubual. PENGENDORSAN. Mana-mana pegawai atau pentadbir NHT Global atau pihak ketiga tidak boleh membuat sebarang pengendorsan, melainkan sepertimana yang dimaklumkan dengan jelas dalam risalah dan komunikasi NHT Global. KOMUNIKASI BEBAS. Sebagai kontraktor bebas, pengedar digalakkan untuk menyebarkan maklumat dan arahan kepada rangkaian downline NHT Global masing-masing. NHT Global menggalakkan penyebaran surat berita, manual latihan dan bengkel kerja serta program organisasi lain dengan berhati-hati bagi membantu mengembangkan perniagaan pengedar. Walau bagaimanapun, pengedar mesti mengenal pasti dan membezakan antara komunikasi peribadi yang dilakukan untuk membantu organisasi dengan komunikasi rasmi NHT Global, dan memastikan agar dasar-dasar ini dipatuhi. LATIHAN PENGEDAR. Pengedar bertanggungjawab menyediakan latihan untuk pengedar tajaan mereka. Bantuan latihan disediakan dalam risalah NHT Global, melalui alat bantuan latihan tambahan dan juga di Internet. Di samping itu, pengedar boleh menghadiri bengkel latihan yang dianjurkan di peringkat tempatan dan kawasan. PERKHIDMATAN PENGEDAR. Untuk setiap pengedar yang menjana sebarang pendapatan sebagai pengedar NHT Global, syarikat menyediakan komunikasi pengurusan dan latihan, penghantaran produk dan bahan jualan yang pantas, dan akses kepada internet bagi membolehkan pengedar menyemak laporan jualan yang dijanakan oleh organisasi mereka sepanjang tempoh kalendar di mana komisen dan override diperoleh dan dibayar. LARANGAN PEMBUNGKUSAN SEMULA. Pembungkusan semula produk NHT Global untuk jualan semula adalah dilarang sama sekali dalam apa jua keadaan. RAKAMAN. Pengedar tidak boleh menghasilkan atau menghasilkan semula bahan rakaman video atau audio yang diterbitkan oleh NHT Global yang memperincikan peluang atau produk NHT Global. Pengedar atau tetamu mereka tidak dibenarkan menghasilkan pita audio, pita video atau merakam sebarang acara NHT Global. TATACARA MENJAWAB TELEFON. Pengedar tidak dibenarkan menjawab telefon atau membuat rakaman peti suara yang menyebut nama “NHT Global” atau dengan apa cara yang boleh menyebabkan pemanggil percaya bahawa dia telah menghubungi pejabat korporat NHT Global. LIABILITI. Pelanggaran mana-mana Dasar dan Prosedur boleh mengakibatkan penggantungan dan/atau penamatan hak pengedar. Pelaku juga mungkin disabitkan dengan liabiliti sivil atau jenayah akibat daripada pelanggaran Permohonan dan Perjanjian Pengedar, Kod Etika Profesional, Dasar dan Prosedur NHT Global atau undang-undang. Di samping itu, NHT Global boleh menyekat pembayaran kepada mana-mana pengedar NHT Global bagi mengimbangi sebarang ganti rugi yang ditanggung oleh NHT Global akibat pelanggaran Permohonan dan Perjanjian Pengedar, Kod Etika Profesional, Dasar dan Prosedur NHT Global atau undang-undang oleh pengedar.
VI. PEMBAYARAN BONUS DAN OVERRIDEPERMOHONAN DAN PERJANJIAN PENGEDAR. Bonus dan override tidak boleh dibayar sehingga borang Permohonan dan Perjanjian Pengedar yang lengkap telah diterima oleh NHT Global melalui Internet. Bonus akan dibayar HANYA untuk penjualan produk NHT Global. Tiada bonus akan dibayar untuk pembelian apa-apa bahan jualan, alat bantu jualan atau perekrutan pengedar. CEK KOMISEN. Jumlah minimum bayaran cek komisen ialah RM 500 (lima ratus Ringgit) atau seperti yang ditetapkan di mana-mana negara asing. Sekiranya jumlah yang diperoleh kurang daripada jumlah tersebut, ia akan terkumpul sehingga jumlahnya melebihi RM 500 (lima ratus Ringgit).
VII. PEMBELIAN DAN PENJUALAN PRODUKTIADA PEMBELIAN DIWAJIBKAN UNTUK MENJADI PENGEDAR NHT GLOBAL. Tiada pembelian produk diwajibkan untuk menjadi pengedar NHT Global. Pengedar NHT Global layak membeli produk daripada NHT Global pada harga diskaun. LARANGAN MENYIMPAN STOK. Kejayaan NHT Global bergantung pada jualan runcit kepada pengguna utama. Oleh itu, segala bentuk penyimpanan stok adalah tidak digalakkan. NHT Global menyedari bahawa pengedar mungkin ingin membeli produk tertentu dalam kuantiti yang munasabah untuk kegunaan mereka sendiri, untuk keperluan inventori dan untuk diagihkan kepada pengedar baharu yang mereka taja. NHT Global melarang sama sekali pembelian produk semata-mata untuk melayakkan diri bagi memperoleh pangkat baharu dalam Pelan Ganjaran. PEMBELIAN LANGSUNG. Pengedar NHT Global boleh membeli produk secara terus daripada NHT Global. Sekiranya pengedar baharu membeli produk daripada penaja atau pengedar uplinenya, BV untuk pembelian tersebut tidak akan dinikmati oleh pengedar baharu kerana pembelian tidak dilakukan secara langsung daripada NHT Global. Untuk membolehkan pengedar baharu mendapat BV tersebut, penaja atau upline perlu menggunakan nama pengedar baharu ketika membuat pesanan produk dan penghantaran juga hendaklah dialamatkan kepada pengedar baharu itu sendiri. Nota: Pengedar NHT Global yang bereputasi baik boleh membuat sendiri pesanan pada kos pengedar dengan menggunakan PIN (nombor pengenalan peribadi) sendiri menerusi laman web NHT Global semasa pendaftaran. PEMULANGAN BARANGAN. Sekiranya barangan dikembalikan akibat kesilapan pengedar atau sekiranya barangan tersebut dikembalikan kerana tidak dituntut dalam tempoh yang ditetapkan, NHT Global akan mengenakan caj penghantaran semula kepada pengedar. CARA PEMBAYARAN. Pembelian boleh dibayar melalui kiriman wang, cek juruwang atau mana-mana kad kredit yang berkenaan. PEMBELIAN KAD KREDIT. Pembelian melalui kad kredit hanya boleh dilakukan oleh individu yang nama dan alamat atau nama perniagaannya tertera pada kad kredit tersebut. Sekiranya mana-mana pengedar menggunakan kad kredit individu lain untuk membayar pembelian mereka, hak pengedarnya berisiko digantung sementara menunggu siasatan dan penyelesaian sebarang aduan berkaitan transaksi tanpa kebenaran. NHT Global menganggap transaksi tersebut sebagai penipuan dan akan melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk mendapatkan penyelesaian. Dalam apa jua keadaan, mana-mana pengedar tidak dibenarkan membalikkan caj (charge back) sebarang pembelian kad kredit. Mana-mana pengedar yang melakukannya akan kehilangan semua keistimewaan pembelian melalui kad kredit dengan serta-merta sehingga caj tersebut digantikan dengan pembayaran yang disahkan. Sekiranya berlaku kesilapan caj terhadap kad kredit pengedar, pengedar hendaklah segera menghubungi Jabatan Sokongan NHT Global bagi memulakan siasatan dan mendapatkan penyelesaian. KEDUDUKAN PENGEDAR TIDAK AKTIF. Mana-mana pengedar yang tidak mengaktifkan kedudukannya dalam tempoh 28 (dua puluh lapan) hari dari tarikh pendaftaran dengan membuat pesanan produk berbayar atau menggunakan perkhidmatan pejabat maya akan dianggap telah berhenti secara sukarela dan tidak layak untuk mendapatkan semula kedudukannya pada bila-bila masa. Di samping itu, kedudukan tidak aktif yang melibatkan ketiadaan pesanan BV dan penggunaan pejabat maya akan ditamatkan selepas 90 (sembilan puluh) hari dari tarikh pengedar mula tidak aktif. Pengedar yang kedudukannya telah ditamatkan selepas 90 hari, sepertimana yang dinyatakan di atas, boleh memilih untuk memohon semula keahlian selepas tempoh 90 hari. PESANAN TERTUNGGAK. Sekiranya mana-mana produk atau bahan jualan tidak tersedia untuk suatu tempoh masa, pengedar NHT Global akan diberi pilihan sama ada untuk membuat pesanan terlebih dahulu dan menunggu ketersediaan produk atau bahan tersebut, atau membatalkan pesanan mereka dengan pembayaran balik penuh, atau membatalkan bahagian pesanan yang tertunggak sahaja tanpa dikenakan penalti sehingga barangan itu siap untuk penghantaran. PERATURAN TUJUH PULUH PERATUS. Bagi memenuhi kelayakan untuk mendapat komisen dan override, pengedar mesti mengakui pada Borang Pesanan Produk dan pada skrin pesanan laman web bahawa mereka telah menjual semua produk kepada pelanggan runcit atau telah menggunakan secara peribadi tujuh puluh peratus (70%) daripada semua produk yang telah dibeli sebelum ini. Syarat ini dikenali sebagai “Peraturan Tujuh Puluh Peratus” dalam industri ini. Apabila diminta, pengedar mesti mengemukakan perakuan kepatuhan kepada Peraturan Tujuh Puluh Peratus dan NHT Global pula boleh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengesahkan penjualan itu telah berlaku. Nota: Pengedar yang membuat pesanan melalui telefon atau pos juga dikehendaki mematuhi peraturan ini dan akan diminta oleh pemproses pesanan atau Wakil Sokongan atau dikehendaki mengesahkan kepatuhan melalui tandatangan. ALAMAT PENGHANTARAN. NHT Global hanya menerima alamat premis untuk tujuan penghantaran. Pesanan tempatan yang dihantar boleh dijejak dan jika perlu, penggantian boleh dilakukan tepat pada masanya. KOS PENGHANTARAN. Pengedar bertanggungjawab sepenuhnya untuk memaklumkan tentang (a) kaedah dan cara penghantaran, dan (b) alamat destinasi. Pilihan kaedah penghantaran yang tersedia juga dinyatakan di atas dan pada laman web NHT Global berserta kos prabayar. Kos penghantaran akan dikira secara automatik. Sekiranya penerima pesanan enggan menerima serahan yang dihantar dari NHT Global dan bungkusan itu kemudiannya dikembalikan kepada NHT Global, status pengedar yang membuat pesanan akan dipaparkan sebagai ‘tidak aktif’ sementara menunggu penyelesaian kepada keengganan penerimaan serahan tersebut. Caj penghantaran balik akan ditolak daripada akaun pengedar. Sila rujuk: Pemulangan Bungkusan dalam Bahagian (di atas). PENGHANTARAN PRODUK DAN BAHAN PADA MASA YANG DITETAPKAN. Setelah pembayaran dijelaskan, NHT Global akan memproses produk dan bahan yang telah dipilih untuk penghantaran. Sekiranya ada barangan yang tiada stok buat sementara waktu disebabkan permintaan yang tinggi, penerima akan dimaklumkan melalui slip pembungkusan yang disertakan dengan penghantaran. Untuk pesanan tertunggak, barangan akan dihantar dengan secepat mungkin apabila stok sudah ada, biasanya dalam tempoh sepuluh (10) hari dari tarikh pesanan asal dan pembayaran juga sudah dibuat. PESANAN KHAS/SEKATAN PENGHANTARAN. NHT Global tidak akan “menyekat” pesanan atau melambatkan penghantaran produk yang telah diproses. Sebaik sahaja bayaran diterima, semua pesanan mesti dikeluarkan untuk penghantaran. BARANGAN ROSAK. Syarikat penghantaran bertanggungjawab terhadap kerosakan yang berlaku setelah barangan fizikal diserahkan kepada mereka. Pengedar perlu mengikuti langkah-langkah berikut sekiranya mereka menerima barangan yang rosak:
KUANTITI PENGHANTARAN TIDAK CUKUP. NHT Global sentiasa memastikan agar pesanan dihantar dengan betul dan tepat pada masanya. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah situasi yang jarang berlaku, sebarang kesilapan akan diatasi dengan segera bagi mengelakkan kelewatan yang berterusan kepada penerima. Mana-mana pengedar diberi tempoh lima (5) hari perniagaan setelah menerima penghantaran untuk melaporkan sebarang kuantiti yang tidak mencukupi. Sebaik sahaja dimaklumkan dan disahkan, NHT Global akan mengirimkan barangan yang tidak cukup itu ke alamat yang dinyatakan pada pesanan asal. PELARASAN KOMISEN. Sekiranya ada produk yang dipulangkan kepada NHT Global, mana-mana pengedar upline yang terlibat akan tertakluk kepada pelarasan komisen, override dan akaun bonus, volum peribadi dan sebagainya berdasarkan pada semua komisen dan bonus yang telah dibayar untuk produk yang dikembalikan itu. PEMBELIAN BONUS. Pembelian bonus termasuk:
Pembelian bonus merupakan pelanggaran utama terhadap Dasar dan Prosedur syarikat, dan ia adalah dilarang sama sekali. PERUBAHAN HARGA. Harga produk NHT Global dan harganya dalam risalah adalah tertakluk pada perubahan tanpa sebarang notis awal. SYOR HARGA RUNCIT (SUGGESTED RETAIL PRICE atau SRP). NHT Global menyediakan syor harga runcit sebagai garis panduan. Pengedar bebas NHT Global boleh menjual produk NHT Global pada harga yang dipersetujui oleh mereka dan pelanggan mereka. Namun, pengedar tidak dibenarkan mengiklankan sebarang harga yang lebih rendah daripada syor harga runcit NHT Global. Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, produk “percuma” atau sebarang harga istimewa atau insentif lain yang lebih rendah daripada SRP. Produk NHT Global tidak boleh ditawarkan bersama-sama produk dari mana-mana syarikat lain. RESIT: HARGA RUNCIT. Pengedar NHT Global akan memberikan resit jualan bercetak kepada semua pelanggan runcit produk NHT Global. Pengedar yang membuat pesanan melalui Internet untuk pelanggan mereka akan menerima pengesahan penerimaan melalui e-mel sebagai tambahan kepada slip pembungkusan yang disertakan dalam bungkusan barangan. CUKAI JUALAN. Bagi setiap pembelian daripada NHT Global, NHT Global akan mengumpul dan mengembalikan (remit) cukai jualan dan cukai tempatan yang berkenaan, yang perlu dibayar mengikut syor harga runcit produk dan/atau bahan untuk barangan bercukai. Kadar yang dikenakan adalah berdasarkan pada alamat penghantaran produk dan/atau bahan jualan itu. Pengedar mesti mematuhi arahan dan notis NHT Global mengenai kutipan dan pembayaran cukai jualan dan cukai tempatan. Pengecualian cukai tidak bersifat retroaktif. PESANAN AUTOSHIP. NHT Global berhak mengubah harga produk pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, sekiranya pelarasan harga dilakukan oleh NHT Global, langkah-langkah akan diambil untuk menyampaikan maklumat tersebut kepada semua pengedar supaya mereka dapat membuat perubahan atau pembatalan pesanan autoship sebelum ia diproses. Perubahan harga yang disebabkan oleh cukai dan isu kawal selia lain boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa sebarang notis awal. KEDAI RUNCIT. NHT Global ialah syarikat jualan langsung. Kejayaan kami adalah berdasarkan pada aktiviti jualan secara langsung (satu-dengan-satu) oleh para pengedar kepada pengguna, dengan cara yang mesra dan prihatin. Bagi mengekalkan hubungan peribadi ini dengan para pelanggan kami dan untuk memberi peluang yang sama kepada semua pengedar yang menjual produk NHT Global kepada pengguna, NHT Global menetapkan sekatan tertentu ke atas penjualan produknya kepada atau melalui unit perniagaan komersial. Pengedaran produk melalui kedai rangkaian adalah tidak dibenarkan sepertimana yang telah ditetapkan oleh NHT Global. Secara amnya, NHT Global mentakrifkan mana-mana perniagaan runcit yang memiliki lebih daripada lima (5) lokasi berasingan sebagai kedai rangkaian. Produk NHT Global yang ditawarkan di unit perniagaan runcit (yang bukan kedai rangkaian) mesti dijual mengikut syor harga runcit (SRP) pengedar. NHT Global mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan sama ada sesebuah syarikat komersial telah melanggar dasar, maksud atau matlamat garis panduannya, dan ia juga berhak mengubah, meminda atau membatalkan kelulusan mengikut keadaan perniagaan semasa. PROGRAM PERUNCIT/PEMBELI BORONG (RETAIL/WHOLESALE BUYER atau R/WB). Program R/WB bertujuan untuk membolehkan pengedar mendaftarkan kedai runcit yang dibenarkan (lihat di atas) dengan mudah sebagai lokasi pengedaran produk NHT Global. Walaupun banyak peruncit ingin menjual rangkaian produk NHT Global di kedai mereka, mungkin ramai yang tidak berminat untuk menyertai atau mungkin tidak dibenarkan untuk menyertai program pemasaran rangkaian. Oleh itu, Program R/WB membolehkan peruncit mendaftar dengan NHT Global supaya mereka dapat membeli produk secara terus pada harga borong dan menjualnya pada harga runcit (tidak kurang daripada syor harga runcit NHT Global) tanpa perlu mendaftar sebagai pembeli borong. Program R/WB juga tersedia untuk pihak lain yang tidak berminat untuk menceburkan diri dalam aspek pemasaran rangkaian tetapi lebih cenderung untuk menjadi pembeli produk secara jangka panjang sekiranya mereka diberi peluang untuk membeli produk pada harga borong. R/WB mesti melengkapkan Perjanjian Unit Perniagaan Runcit/Pembeli Borong (Retail Establishment Agreement atau REA) dengan mana-mana pengedar NHT Global. Pengedar mesti menyempurnakan proses ini melalui pejabat maya beliau. R/WB tidak boleh mendaftarkan dirinya sendiri dalam program ini. KONSAINMEN. Bagi melindungi perniagaan dan integriti Syarikat NHT Global, produk NHT Global tidak boleh dihantar kepada pihak lain secara konsainmen. Hanya pengedar NHT Global yang diberi kuasa boleh menjual produk NHT Global kepada pihak luar. VIII. JAMINAN RUNCIT DAN DASAR PEMULANGAN
PEMULANGAN PRODUK OLEH PELANGGAN RUNCIT. NHT Global menawarkan tempoh jaminan wang dikembalikan 100% (seratus peratus) tanpa syarat selama 14 (empat belas) hari untuk produk yang dijual kepada semua pelanggan runcit. Setiap pengedar NHT Global terikat kepada Perjanjian serta Dasar dan Prosedur yang dipersetujuinya bagi menghormati jaminan ini. Sebelum mana-mana urus niaga jualan runcit diselesaikan, pengedar mesti memaklumkan secara lisan kepada pelanggan mengenai hak mereka terhadap jaminan tanpa syarat ini. Sekiranya pelanggan runcit tidak berpuas hati dengan mana-mana produk NHT Global atas sebarang alasan, pelanggan boleh memulangkan bahagian produk yang tidak digunakan kepada pengedar asal yang menjual kepadanya dalam masa 14 (empat belas) hari untuk mendapatkan produk ganti atau membuat pertukaran dengan produk lain atau menerima bayaran balik penuh ke atas harga pembelian produk. NHT Global akan menggantikan produk yang dipulangkan kepada pengedar sekiranya langkah-langkah dan syarat berikut dipenuhi: Jabatan Sokongan Global NHT dimaklumkan tentang pemulangan barangan oleh pelanggan runcit;
∎ Produk yang diterima daripada pelanggan runcit ∎ Nama, alamat dan nombor telefon pelanggan runcit. Kotak penghantaran dan bahan pembungkusan yang sesuai perlu digunakan untuk membungkus produk yang dipulangkan untuk penggantian, dan pilihan kaedah penghantaran yang terbaik dan paling menjimatkan adalah disyorkan. Pengedar disarankan supaya menggunakan kaedah penghantaran yang menawarkan sistem penjejak bagi memastikan penghantaran yang sempurna. NHT Global akan menanggung kos penghantaran produk ganti kepada pengedar. NHT Global tidak akan membayar balik harga belian runcit kepada mana-mana pengedar bagi sebarang pemulangan produk oleh pelanggan runcit, malah tiada produk ganti akan dihantar sekiranya syarat-syarat di atas tidak dipenuhi. Permintaan untuk melakukan jualan runcit yang dipulangkan itu mesti mengandungi butiran yang jelas dan lengkap (nama, alamat, nombor telefon, alamat e-mel jika ada, dan sebarang maklumat lain yang membolehkan NHT Global mengesahkan penjualan dan pemulangan terbabit). Penggantian atau pertukaran produk tidak dibenarkan untuk mana-mana penjualan runcit yang tidak dapat disahkan. Maklumat palsu boleh mengakibatkan siasatan lanjut dan kemungkinan penggantungan hak pengedar.
KEBENARAN PEMULANGAN PRODUK (RETURN PRODUCT AUTHORIZATION atau RMA). Sebelum apa-apa produk boleh dipulangkan kepada NHT Global, sama ada yang berpunca daripada kesilapan penghantaran, pemulangan pelanggan runcit, kerosakan produk, kawalan kualiti atau pemberhentian pengedar, pengedar mesti menghubungi Jabatan Sokongan NHT Global sama ada melalui faks, pos atau e-mel untuk mendapatkan Nombor Kebenaran Pedagang Runcit. Mana-mana bungkusan yang dipulangkan tanpa pengenalan sedemikian yang jelas tertera pada bahagian luar bungkusan tidak akan diterima. KAWALAN KUALITI (QUALITY CONTROL atau QC). NHT Global akan menggantikan, dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh pembelian, sebarang produk yang didapati rosak (selain produk yang rosak semasa atau selepas penghantaran). Oleh itu, kami menggalakkan para pengedar supaya memeriksa bungkusan mereka ketika menerimanya. Permintaan yang dibuat selepas tempoh yang dibenarkan akan ditolak. Produk tidak boleh dipulangkan kepada NHT Global sebelum mendapat kelulusan untuk berbuat demikian daripada Jabatan Sokongan, sama ada permohonan yang dibuat melalui telefon, faks atau e-mel. Bagi memastikan produk gantian dapat dihantar, prosedur berikut perlu dipatuhi dengan teliti: – Permintaan bertulis untuk mendapatkan produk ganti mesti dikemukakan, dengan menyatakan sebab untuk permintaan tersebut berserta pengesahan pembayaran atau salinan pesanan; dan – Setelah dimaklumkan, NHT Global akan mengarahkan pengedar supaya menghantar produk yang rosak itu ke alamat yang ditetapkan dan akan mengeluarkan nombor RMA, yang mesti ditulis dengan jelas di luar bungkusan yang dipulangkan yang mengandungi produk yang dipulangkan itu. Setelah diterima dan pengesahan dilakukan, NHT global akan menghantar produk gantian. PEMULANGAN PRODUK AKIBAT PEMBERHENTIAN. Sekiranya pengedar telah membeli produk bagi tujuan inventori atau bantuan jualan ketika Perjanjian masih berkuat kuasa, semua produk yang masih boleh digunakan dan boleh dijual semula di pasaran semasa dan yang telah dibeli dalam tempoh 6 (enam) bulan * sebelum pemberhentian sebagai pengedar NHT Global akan dibeli semula oleh NHT Global, tertakluk kepada pematuhan terhadap Peraturan Tujuh Puluh Peratus. Pembelian itu hendaklah dilakukan pada harga tidak kurang daripada 90% (sembilan puluh peratus) kos bersih asal kepada peserta, tidak termasuk sebarang caj pengangkutan dan komisen yang telah dibayar kepada pengedar disebabkan penjualan produk yang dipulangkan. Sebarang permintaan sedemikian akan dianggap sebagai pemberhentian hak pengedar. Sekiranya inventori yang dipulangkan itu tidak memenuhi syarat-syarat pemulangan di atas, barangan terbabit akan disimpan selama 30 (tiga puluh) hari dan dalam tempoh ini, pengedar berhak untuk memohon supaya barangan tersebut dipulangkan. Pengedar perlu membayar semua caj penghantaran. Sekiranya permintaan ini tidak diterima oleh Jabatan Sokongan NHT Global dalam tempoh masa yang dinyatakan di atas, NHT Global berhak melupuskan inventori terbabit tanpa sebarang pampasan kepada pengedar yang menyerahkannya untuk penilaian. Bagi memastikan agar bayaran balik dikeluarkan tepat pada masanya, langkah-langkah berikut harus dipatuhi:
* Tempoh pemulangan yang dibenarkan adalah berbeza-beza mengikut undang-undang Malaysia. PEMULANGAN YANG TIDAK DIBENARKAN. Sekiranya pengedar enggan menerima sebarang penghantaran NHT Global atau membuat permintaan untuk memulangkan sebarang produk yang dibeli sebelum ini bagi tujuan mendapat bayaran balik, permintaan tersebut akan dianggap sebagai pemberhentian secara sukarela. PERTUKARAN. NHT Global tidak menerima pertukaran produk daripada pengedar.
IX. PERUNTUKAN AMPENYIMPANAN REKOD. NHT Global meminta semua pengedarnya supaya menyimpan rekod transaksi perniagaan yang lengkap dan tepat. Pada bila-bila masa, NHT Global boleh meminta rekod berkaitan jualan runcit atau perkara lain sepertimana yang dinyatakan di sini atau seperti yang dikehendaki oleh undang-undang yang berkenaan.
PINDAAN. Bagi mengekalkan Program Pemasaran yang berdaya maju dalam keadaan ekonomi yang berubah-ubah dan/atau bagi mematuhi perubahan terhadap undang-undang tempatan, NHT Global berhak, mengikut budi bicaranya, untuk meminda Dasar dan Prosedur yang terkandung di sini , harga pengedar atau syor harga runcit, ketersediaan dan formulasi produk, dan Pelan Ganjaran sebagaimana yang dianggap wajar tanpa memberikan sebarang notis awal. Pindaan Dasar dan Prosedur serta Pelan Ganjaran dan segala perubahan ke atasnya akan menjadi sebahagian daripada Perjanjian yang mengikat apabila diterbitkan di laman web rasmi NHT Global. Pengedar bertanggungjawab untuk mengambil tahu tentang maklumat semasa dan terkini. NHT Global tidak boleh dipertanggungjawabkan sekiranya pengedar alpa dan gagal untuk mendapatkan maklumat terkini yang tepat. Sekiranya terdapat sebarang konflik antara Perjanjian dengan sebarang pindaan sedemikian, pindaan itu akan diguna pakai. Sekiranya kemas kini dilakukan terhadap risalah Syarikat, katalog produk, senarai harga, risalah produk, maklumat laman web, faks atas permintaan dan sebagainya, hanya versi paling terkini dibenarkan untuk digunakan oleh pengedar NHT Global. PERUNTUKAN PENAFIAN. Kegagalan NHT Global untuk melaksanakan apa-apa kuasa di bawah Dasar dan Prosedur ini atau untuk menegaskan supaya para pengedar mematuhi apa-apa syarat atau peruntukan yang terkandung di dalamnya, dan kebiasaan atau amalan pihak-pihak yang bercanggah dengan Polisi dan Prosedur ini, tidak terangkum dalam penepian hak NHT Global untuk meminta pengedar mematuhi Dasar dan Prosedur ini dengan sepenuhnya. Penepian oleh NHT Global hanya boleh dilakukan secara bertulis oleh pegawai NHT Global yang diberi kuasa. Penepian NHT Global terhadap mana-mana kesilapan tertentu oleh pengedar tidak akan menjejaskan atau mengganggu hak NHT Global berkaitan mana-mana kesilapan yang akan datang. Malah, ia juga tidak akan menjejaskan hak atau tanggungjawab mana-mana pengedar lain dalam apa cara sekalipun, dan sebarang kelewatan atau kelalaian NHT Global untuk melaksanakan sebarang hak akibat kesilapan itu tidak akan menjejaskan atau mengganggu hak NHT Global terhadap perkara tersebut atau terhadap mana-mana kesilapan yang akan datang. MELAPORKAN PELANGGARAN DASAR. Pengedar yang menyaksikan atau menyedari tentang sesuatu pelanggaran dasar oleh pengedar NHT Global yang lain digalakkan supaya menyerahkan laporan bertulis mengenai kejadian tersebut kepada NHT Global sama ada melalui faks, pos atau e-mel. Dokumen terbabit mesti mengandungi nombor pengenalan dan tandatangan pengedar yang membuat laporan. Aduan tanpa nama tidak akan diterima atau dilayan. Panggilan telefon juga tidak diterima kerana dokumen mesti dikemukakan secara bertulis daripada pihak pengadu, saksi yang bekerjasama dan juga mana-mana individu yang didakwa melanggar dasar. Butir-butir kejadian itu seperti tarikh, bilangan kejadian, orang yang terlibat, saksi dan dokumen sokongan lain perlu disertakan dalam laporan tersebut. Nota: Nama pihak pengadu dan mana-mana saksi lain akan dirahsiakan dan tidak akan didedahkan kepada pengedar yang telah melakukan pelanggaran tersebut. ARBITRARI. Semua pertikaian dan tuntutan berkaitan NHT Global contohnya Perjanjian, atau produknya, hak dan kewajipan pengedar NHT Global, atau sebarang dakwaan atau kuasa tindakan yang berkaitan dengan prestasi pengedar atau NHT Global di bawah Perjanjian, dan/atau pembelian produk oleh pengedar perlu diselesaikan dengan sepenuhnya dan muktamad melalui arbitrari di Malaysia atau lokasi lain sepertimana yang ditetapkan oleh NHT Global. Proses ini mesti melibatkan seorang (1) penimbang tara, seorang peguam undang-undang yang mempunyai kepakaran dalam transaksi undang-undang perniagaan dengan keutamaan diberikan kepada peguam yang berpengetahuan dalam industri jualan langsung, yang dipilih daripada panel. Setiap pihak yang terlibat dalam arbitrari ini bertanggungjawab menanggung sendiri sebarang kos dan perbelanjaan atau arbitrari, termasuk kos undang-undang dan pemfailan. Sekiranya pengedar memfailkan tuntutan atau tuntutan balas terhadap NHT Global, pengedar terbabit hendaklah melakukannya secara perseorangan dan bukan dengan melibatkan pengedar lain atau bertindak secara berkumpulan. Keputusan penimbang tara adalah muktamad dan mengikat kedua-dua belah pihak yang terbabit dan boleh, jika perlu, dibawa menghadap penghakiman di mana-mana mahkamah yang mempunyai bidang kuasa penuh. Perjanjian arbitrari ini akan terus diguna pakai walaupun Perjanjian ditamatkan atau luput tarikh. Tanpa mengambil kira perkara yang disebut di atas, arbitrari tidak mempunyai kuasa ke atas pertikaian yang berkaitan dengan pemilikan, kesahihan atau pendaftaran sebarang tanda atau hak harta intelek atau maklumat sulit proprietari NHT Global tanpa kebenaran bertulis daripada NHT Global. NHT Global boleh mendapatkan apa-apa cara penyelesaian dari mana-mana forum berhubung dengan pertikaian ini dan berkaitan wang yang perlu dibayar kepada NHT Global. Selain ganti rugi kewangan, NHT Global boleh mendapatkan pelepasan injunksi terhadap pengedar yang melanggar Perjanjian, dan untuk sebarang pelanggaran yang melibatkan penyalahgunaan jenama, hak cipta atau dasar maklumat sulit NHT Global. Dalam peruntukan ini, tiada apa pun yang boleh menghalang mana-mana pihak daripada memohon dan mendapatkan, daripada mana-mana mahkamah yang mempunyai bidang kuasa, apa-apa writ penahanan, injunksi sementara, injunksi awal dan/atau keputusan yang diberikan semasa atau selepas mana-mana proses arbitrari atau prosiding lain atau semasa menunggu pengendalian keputusan berkaitan mana-mana proses arbitrari atau prosiding. Kewujudan sebarang tuntutan atau kuasa tindakan pengedar terhadap NHT Global, sama ada berdasarkan pada Perjanjian ini atau sebaliknya, tidak boleh menjadi pembelaan kepada penguatkuasaan NHT Global terhadap syarat dan persetujuan yang terkandung dalam Perjanjian. KESELURUHAN PERJANJIAN. Perjanjian ini (terdiri daripada Dasar dan Prosedur, Permohonan dan Perjanjian Pengedar dan Pelan Ganjaran), sepertimana yang mungkin telah sedia ada atau yang akan dipinda selepas ini, membentuk keseluruhan perjanjian kedua-dua pihak tentang hubungan mereka, perkara yang disebut di sini dan yang berkaitan dengannya. KEBOLEHASINGAN. Di bawah mana-mana undang-undang atau peraturan yang berkaitan dan mengikat di mana-mana bidang kuasa yang berkenaan, sekiranya sebarang peruntukan Perjanjian, termasuk Dasar dan Prosedurnya, atau mana-mana spesifikasi, atau prosedur standard atau prosedur operasi yang ditetapkan oleh NHT Global dianggap tidak sah atau tidak boleh dikuatkuasakan, diisytiharkan tidak sah atau boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang atau peraturan yang berkaitan dan mengikat di mana-mana bidang kuasa yang berkenaan, NHT Global berhak untuk meminda peruntukan, spesifikasi, prosedur operasi standard atau mana-mana bahagiannya yang tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan itu setakat yang diperlukan sehingga ia menjadi sah dan boleh dikuatkuasakan. Pengedar terikat kepada mana-mana pindaan sedemikian. Pindaan tersebut akan berkuat kuasa dalam bidang kuasa yang diperlukan. BATASAN GANTI RUGI. Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang, NHT Global dan syarikat sekutunya, pegawai, pengarah, pekerja dan pengedar lain tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas, dan setiap pengedar dengan ini melepaskan pihak-pihak yang dinyatakan tadi daripada dan mengetepikan sebarang tuntutan untuk, kehilangan keuntungan, kecederaan, ganti rugi khas, ganti rugi lanjutan atau ganti rugi teladan, yang mungkin timbul daripada apa-apa tuntutan berkaitan dengan prestasi, kegagalan prestasi, tindakan atau ketiadaan tindakan NHT Global berkaitan dengan hubungan perniagaan atau perkara lain di antara pengedar dengan NHT Global, sama ada dalam kontrak, tort atau liabiliti ketat. Di samping itu, apa-apa ganti rugi kepada pengedar telah dipersetujui tidak boleh melebihi dan dengan ini terhad dengan jelas kepada jumlah yang dibayar kepada NHT Global (kurang daripada jumlah yang diterima daripada NHT Global atau daripada jualan runcit produk NHT Global), jumlah produk NHT Global yang tidak terjual yang berada dalam pemilikan pengedar dan yang telah dibeli secara terus daripada NHT Global, dan apa-apa komisen, bonus atau bayaran balik yang perlu dijelaskan. Last update: 08/08/07 |